Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020, keperluan terhadap penggunaan dan pengetahuan teknologi tinggi akan menjadi semakin penting. Salah satu syarat untuk mencapai aspirasi ini ialah institusi pengajian tinggi perlu melahirkan ramai pakar dalam bidang sains dan teknologi termasuk fizik. Berikut diberikan satu panduan ringkas tentang prospek dan peluang yang boleh diceburi oleh graduan sains yang berkelulusan Sarjana muda Sains dalam bidang Fizik.
1. Industri
Bagi graduan ijazah pertama dalam bidang fizik, peluang pekerjaan dalam industri adalah luas. Pada masa ini peluang utama bagi graduan fizik di industri adalah dalam industri elektronik / kawalan dan penjanaan tenaga, bahan komposit, nuklear, logam dan aloi.
Dalam bidang industri pembuatan, graduan fizik diperlukan paling utama dalam bidang rekabentuk, produk dan proses atau sistem. Bidang ini bersesuaian dengan graduan fizik kerana ia memerlukan kemahiran imaginasi, kreativiti, permahaman konsep-konsep asas dan pengetahuan tentang proses-proses penyediaan bahan.
2. Pendidikan
Bidang pendidikan, sama ada di peringkat pengajian tinggi atau sekolah adalah bidang pekerjaan yang biasa diceburi oleh graduan fizik. Satu perkara yang harus diberi perhatian adalah bagi universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi, lazimnya hanya graduan-graduan yang cemerlang sahaja yang diterima menjadi tenaga akademik mereka.
Kelulusan yang cemerlang adalah perlu kerana graduan-graduan di peringkat ijazah pertama ini biasanya dikehendaki melanjutkan pengajian mereka di dalam atau luar negera di peringkat yang lebih tinggi seperti Sarjana dan Doktor Falsafah. Di samping mengajar, mereka juga menjalankan penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing.
Bagi graduan yang ingin menjadi guru pula, mereka seharusnya memasuki maktab perguruan, atau mengambil diploma pendidikan yang mana pada kebiasaannya akan mengambil masa setahun. Selain daripada subjek fizik, guru lepasan ijazah biasanya dikehendaki juga mengajar subjek-subjek lain seperti matematik atau sains fizikal.
3. Penyelidikan dan Pembangunan
Walaupun bidang penyelidikan dan pembangunan ini wujud di sekotr industri dan graduan fizik boleh menyertainya, terdapat juga institusi-institusi di negara kita ini yang membuka peluang kerjaya kepada lepasan Sarjana muda Sains Fizik yang hanya ingin menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan sahaja. Antara institusi-institusi itu adalah SIRIM, IMR, RRI, PORIM, FRIM, MIMOS, AMREC, PRSS, TNRD dan MINT.
Di sini bidang kerja penyelidikan dan pembangunan adalah luas dan kadang-kadang memerlukan seseorang itu mengkhusus dalam sesuatu bidang yang khusus sahaja. Kerjaya sebagai penyelidik biasanya melibatkan penghasilan bahan-bahan baru, penemuan kaedah baru atau pembangunan alat-alat baru. Pada lazimnya penyelidik bekerja di dalam makmal, serta membentangkan hasil penemuan dan penyelidikan mereka. Di samping itu mereka juga sentiasa mengikuti perkembangan-perkembangan semasa melalui jurnal atau media-media lain.
4. Pengajian Di Peringkat Tinggi (Penyelidikan & Pengajian Siswazah)
Sebilangan graduan ijazah pertama fizik mungkin berminat untuk meneruskan pengajian mereka dalam subjek fizik, tetapi dalam bidang-bidang yang lebih mengkhusus. Pusat Pengajian Fizik, UKM menawarkan kursus-kursus dan penyelidikan yang membolehkan lepasan ijazah pertama fizik melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D). Antara bidang-bidang yang ditawarkan adalan Tenaga, Fizik Bahan, Fizik Keadaan Pepejal, Superkonduktor, Astronomi dan Fizik Teori. Peluang kerja bagi lepasan fizik ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah ini adalah lebih baik untuk bidang yang sama seperti yang telah diterangkan.
5. Bidang-bidang lain
a) Fizik Angkasa
Ini adalah satu bidang kerjaya yang baru dan sedang berkembang di Malaysia. Pada masa ini satu badan Agensi Angkasa Negara di Kementerian Sains, Teknologi & Alam Sekitar sedang memperkembangkan penglibatan negara kita di arena penerokaan angkasa lepas. Kerjaya sebagai ahli astronomi di Malaysia melibatkan membuat kajian, pendidikan, penyebaran maklumat dan perancangan tentang penglibatan negara kita di sektor angkasa lepas di peringkat antarabangsa.
Walaupun peluang kerja di bidang ini bagi graduan ijazah pertama agak terhad pada masa ini, tetapi ia mempunyai prospek yang cemerlang pada masa hadapan memandangkan negara kita semakin bergiat dalam aktiviti penerokaan angkasa dan penglibatan dalam penghantaran satelit bumi.
b) Geofizik
Kerjaya ahli geofizik biasanya terdapat di sector industri minyak, gas, kajibumi dan petroleum. Tugas utama bagi seorang ahli geofiizk antara lain adalah mencari dan membuat analisis serta merancang tentang punca-punca minyak, gas atau produk petroleum. Sekarang ini, ahli geofizik juga terlibat dalam kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar dalam industri minyak / petroleum.
c) Perubatan
Bagi bidang perubatan, peluang kerjaya adalah bagi graduan dalam bidang audiologi, fizik perubatan, kejuruteraan bioperubatan dan fizik kesihatan. Oleh kerana sesetengah daripada bidang ini adalah bidang yang khusus, kelulusan di peringkat sarjana atau lebih tinggi adalah lebih diutamakan. Dari segi prospek kerjaya pada masa hadapan, bidang kerjaya fizik perubatan ini sangatlah baik, kerana semakin maju negera kita, semakin tinggi permintaan bagi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Peralatan perubatan pada masa kini juga sudah semakin canggih dan kepakaran dari bidang fizik adalah diperlukan bagi tujuan penyenggaraan.
d) Meteorologi
Meteorologi adalah satu bidang yang mengkaji fizik awan, fizik atmosfera dan kegeloraan atmosfera. Ahli meteorologi juga bertanggungjawab tentang pengumpulan data berkenaan atmosfera dan seterusnya mencari kaedah ramalan cuaca yang lebih tepat lagi. Walaupun pada tanggapan kita bidang meteorology ini di bawah bidang geografi atau kajian alam sekitar, tetapi seorang graduan fizik boleh menjurus dalam bidang ini.
e) Fizik Tenaga
Tenaga merupakan satu unsur penting dalam pembangunan sesebuah negara. Kajian tenaga melibatkan banyak disiplin ilmu, tetapi ilmu asasnya adalah fizik, terutamanya mekanik, termodinamik, dan sifat-sifat terma bahan. Penyelidikan dalam bidang ini termasuklah penjanaan tenaga, mendapatkan bahan baru penjanaan tenaga, kajian prestasi sistem, sistem pengawalan, system pemantualn, aras keselesaan dan kesan terhadap persekitaran. Prospek kerjaya amatlah luas kerana bidang fizik tenaga itu sendiri amat luas; dari asas tenaga sehingga teknologi penjanaan tenaga.
f) Lain-lain
Pada masa ini terdapat juga sektor-sektor yang terlibat dalam pembekalan peralatan yang memerlukan graduan fizik sebagai eksekutif pemasaran. Ini adalah disebabkan bahawa latihan yang dilalui oleh seorang pemegang ijazah fizik, sudah cukup untuk memberikan kemahiran seseorang itu dalam memperihalkan dan memahami bagaimanakah sesuatu produk itu dihasilkan dan seterusnya menerangkan tentang fungsi dan kegunaannya.
Satu lagi bidang baru yang terdapat di negara kita pada masa ini ialah Sains dan Teknologi Ketenteraan dan Pertahanan. Memandangkan kemajuan peralatan ketenteraan yang semakin canggih dan penyenggaraan yang semakin rumit, keperluan kakitangan mahir dan terlatih daripada pelbagai disiplin termasuk fizik adalah amat diperlukan. Peluang kerjaya dalam bidang ini biasanya ditawarkan di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
Sains kewartawanan pula satu bidang yang diwujudkan untuk melahirkan wartawan-wartawan yang berketerampilan sejajar dengan kemajuan teknologi hari ini. Dengan pengetahuan sains, termasuk fizik, para wartawan dapat menghasilkan berita dan laporan berkaitan perkembangan dan kemajuan sains yang tepat dan bermutu. Bidang kewartawanan sains ini adalah bidang yang belum banyak diceburi oleh wartawan-wartawan negara kita.
Sumber : http://laluan-kerjaya.blogspot.com
No comments:
Post a Comment